Jumaat, 11 Jun 2010

INDAHNYA KELUARGA RASULULLAH SAW

Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”
(Al-Ahzab (33) :21)

Sesungguhnya contoh yang terbaik bagi seluruh umat Islam adalah ar-Rasul saw, kerana seperti ayat di atas, barangsiapa yang mengharapkan rahmat Allah SWT maka perlu mengikuti contoh manusia yang paling ulung, iaitu ar-Rasul saw. Maka di dalam membentuk ataupun mencari qudwah sebuah keluarga yang bahagia lagi di redhai, maka hal itu ada pada Rasulullah saw.

Sebagai manusia yang punya banyak kekurangan ini, kita sering kali terlupa dan lalai dalam menjalinkan hubungan kekeluargaan yang baik dan harmoni. Ar-Rasul saw, sepertimana yang kita tahu, merupakan insan yang amat sangat lembut jiwanya dan sangat halus dalam berhubung dengan manusia umumnya dan ahli keluarga khususnya. Tetapi di dalam suatu sisi yang lain baginda merupakan seorang yang sangat tegas, berdisiplin dan berkredibiliti didalam melaksanakan tugasnya sebagai seorang rasul dan ketua keluarga.

Bagaimana hubungan ar-Rasul saw dengan isterinya? Hal ini merupakan satu hal yang amat penting bagi umat Islam hari ini, yang sering kali mengambil contoh tauladan dari barat di dalam memotivasikan rumah tangga muslim, hal ini amat menjengkelkan kerana mengambil contoh kehidupan yang bukan mentauhidkan Allah untuk diterapkan di dalam kehidupan kekeluargaan yang bertunjangkan pada prinsip tauhid. Maka hal ini akan amat kontradik dengan amalan keagamaan sesebuah keluarga muslim. Ar-Rasul saw, dalam bermuamalah dengan isteri atau zaujah baginda sangat indah dan romantis, beliau sangat berkomitmen di dalam melunasi hak-hak isterinya. Walaupun dengan memikul amanah yang sangat berat, iaitu sebagai Rasul Allah SWT yang tugas memerlukan pengorbanan yang sangat luar biasa, tetapi tetap tidak pernah melupakan hak-hak isterinya. Sepertimana suatu kisah, ar-Rasul saw telah keluar dari rumahnya untuk menyampaikan risalah suci buat umat sehingga pulang lewat malam, isterinya yang setia tetap menunggu ketibaan baginda sehingga terlena. Ar-Rasul saw sampai di rumah dan memberi salam, tetapi selepas tiga kali salamnya tidak dijawab lalu baginda membuka kain serbannya yang dililit di kepala dan dihamparlah kain itu dihadapan pintu rumahnya lalu merebahkan tubuhnya yang suci itu diatas lantai. subhanaAllah, suatu karekter yang amat indah dan penyayang. Lalu apabila si isteri terjaga dan mendapati suami yang tercinta yang bergelar kekasih Allah itu terlantar di depan pintu maka si isteri segera meminta maaf dengan setulusnya, akan tetapi akhlak nabi yang sangat indah itu tidak sedikit pun memarahi isterinya malahan baginda pula yang sungguh meminta maaf kembali. Inilah yang dikatakan satu sosok peribadi agung.
Bila ditinjau pula hubungan beliau dengan anaknya, maka sekali lagi kita pasti tersentuh dengan peribadi ar-Rasul saw ini. Setiap ibu bapa secara fitrahnya pasti mencintai dan menyayangi anak mereka. Begitu pulalah halnya dengan ar-Rasul saw. Tetapi seringkali hari ini ibu bapa merosakkan anak mereka dengan kasih sayang mereka yang keterlaluan. Ar-Rasul saw pernah diuji Allah SWT dengan kematian anak lelakinya Ibrahim. Beliau amat tenang dan akur dengan pemergian anaknya, riak wajahnya tidak ternampak pun kesedihan yang mendalam cuma linangan airmata saja tang terus berlalu. Bagaimana kita dapat melihat keredhaan ar-Rasul dengan kehendak Allah SWT. Baginda dapat menunjukkan bahwa kecintaan baginda pada anak-anaknya tidak dapat menewaskan oleh kecintaan baginda pada ketentuan Allah SWT.
Di dalam hubungan baginda dengan cucu baginda pula, sepertimana kisah yang amat terkenal, iaitu beliau sengaja memanjangkan lagi sujudnya semata-mata untuk membiarkan cucunya hassan dan hussein menaiki belakangnya seperti bermain kuda. Tetapi senario itu sedikit pun tidak mengurangkan kekhusyukan baginda pada Rabbul Izzati Allah SWT. Maka memang terbukti bahwa hanya ar-Rasul saw itu merupakan contoh yang terbaik bagi panduan hidup manusia. Keindahan akhlak yang dipamerkan oleh ar-Rasul saw ini semuanya lahir dari ketauhidan atau keimanan baginda kepada Allah SWT. Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah Nya di dalam memahami agama ini amin....Wa Allah hu a’lam..